Nabi Idris a.s. adalah salah seorang
Nabi yang disebut dalam Al – Quran. Allah berfirman dalam Surah Maryam
ayat 56 – 57 yang bermaksud:
“Katakanlah kepada mereka
wahai Muhammad! Kisah Idris di dalam al-Quran. Sesungguhnya dia adalah
orang yang benar dan seorang nabi. Kami telah mengangkat darjatnya ke
tingkatan yang lebih tinggi.”
Dalam ayat tersebut, Nabi Idris a.s.
dipuji oleh Allah s.w.t.. Beliau disebut Allah s.w.t. sebagai Nabi dan
orang yang benar (as-siddiq). Sebagaimana disebutkan oleh Nabi Muhammad
s.a.w., beliau adalah penghulu kaumnya.
Ibnu Ishak mengatakan bahawa Nabi Idris
a.s.adalah orang pertama yang boleh menulis menggunakan pena. Para ahli
tafsir mengatakan bahawa Nabi Idris a.s. adalah moyang kepada Nabi Nuh
a.s. dan telah menjalani kehidupan selama 380 tahun. Beliau adalah orang
pertama yang menulis meggunakan pena dan memakai baju yang berjahit
bahkan beliau adalah orang yang mula-mula menggunakan kulit sebagai
pakaian.
Allah mengangkat darjat Nabi Idris a.s.
Terdapat firman Allah swt yang bermaksud, “Dan Kami mengangkat (darjat)nya ke tingkat yang lebih tinggi”.
Penegasan ayat itu seperti dijelaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. sewaktu
Baginda melakukan Isra’ dan Mikraj. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim
mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. berjumpa dengan Nabi Idris di
kawasan langit ke-empat.
Suatu ketika, salah satu malaikat pilihan Allah datang kepada Nabi Idris dan beliau berkata: “Allah menyampaikan wahyu kepadaku begini dan begini”. Maka
malaikat itu mengajaknya berbincang-bincang, sehingga amalnya
bertambah. Beliau membawa Nabi Idris di antara kedua sayapnya lalu
dibawa naik ke langit.
Ibnu Abi Hatim meriwayatkan bahawa ketika Nabi Idris berada di langit ke-empat, Nabi Idris berkata: “Tolonglah tanyakan kepada Malaikat Maut, berapa lama lagi baki usiaku?”
Malaikat bertanya, sementara Nabi Idris masih bersamanya: “Berapakah lama sisa usianya?”
Malaikat Maut menjawab: “ Aku tidak tahu. Cuba aku lihat dulu”.
Malaikat Maut memerhatikannya lalu berkata : “Engkau baru sahaja menanyakan sisa umur seseorang yang masanya tinggal sebentar sahaja lagi.”
Malaikat yang mengendong Idris melihat
ke bahagian bawah sayapnya. Beliau cuba melihat Nabi Idris, ternyata
pada ketika dilihat itu, Idris telah wafat tanpa diketahuinya.
Bagaimanapun, menurut pengamatan Ibnu Kathir, riwayat itu termasuk kisah
Israiliyat dan sebahagian daripadanya ditolak kebenarannya.
Ibnu Abi Najih mengatakan terdapat riwayat yang diterima dari Mujahid mengenai makna firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan Kami angkat darjatnya ke tempat yang tinggi”.
Dikatakan bahawa Idris a.s. diangkat ke langit dalam keadaan hidup
seperti Nabi Isa a.s. yakni tidak dalam keadaan mati dan jika
dikehendaki beliau tidak akan mati hingga sekarang tetapi masalah ini
memerlukan pengkajian yang lebih terperinci.
Antara perintah dan saranan yang disampaikan Nabi Idris kepada kaumnya adalah:
1. Apabila Allah menyeru kamu
sekalian, maka niatlah dengan ikhlas, kerjakan puasa, solat dan segala
yang diperintahkan ke atas kamu.
2. Jangan ada perasaan dengki
terhadap orang lain yang bernasib baik kerana sebenarnya harta yang
mereka miliki itu hanya sedikit sahaja.
3. Mengumpul harta secara berlebihan tidak memberi manfaat sama sekali terhadap diri seseorang.
4. Kehidupan seseorang itu hendaklah mengandungi hikmah.
Sumber :
Buku Kisah Para Nabi, Pengajaran dan Iktibar
Karya Asal: Qishash Al-Anbiya’ Ibratun li-Ulil Albab
(Ibnu Kathir)
*from : dakwahinfo.com
No comments:
Post a Comment